Sunday, October 25, 2009

WARISAN HUTAN KIARA

">'http://www.blog4ft.com/index.php?page=systems/voting&eid=403'>

Bukit Kiara yang terletak di sempadan kawasan perumahan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) terkenal dengan 'trek mountain biking' yang bertaraf dunia. 'Trail' yang merentasi di celah-celah pepohon kayu yang terkenal dengan 'diversity' dan ' technical challenges' mencabar kewibaan penggemar aktiviti lasak ini.

Atas daya usaha Y.A.Bhg. Tun Jeanne Abdullah, Hutan Kiara sedang dibaik pulih dengan penanaman pokok-pokok kayu hutan semulajadi tropika dan pokok-pokok nadir yang hampir pupus. Dengan pemuliharaan ini, Hutan Kiara akan menjadi 'green lung' yang akan memberi impak yang positif kepada penduduk sekitar khasnnya orang ramai yang beriadah di sini.

Pada hari minggu yang lepas bersama dengan suami saya menjelajah beberapa langkah keluar daripada 'track' pejalan kaki , kali ini dengan berbekalkan kamera untuk mencari bahan bagi proses pengajaran dan pembelajaran sains. Sebagai seorang guru sains saya ingin berkongsi akan keindahan dan kepentingan hutan Bukit Kiara ini dengan anak didik saya yang akan menjadi pewaris khazanah alam ini.

Walaupun kadang-kadang dianggap sebagai haiwan perosak dan mengganggu ketenteraman penduduk di pinggiran, monyet adalah pelengkap kepada ekosistem yang menjadi agen penting di dalam taburan biji benih tumbuhan liar. Dapat dilihat kasih sayang si ibu membawa anak
yang bergayut di perutnya mencari pucuk-pucuk muda sebagai makan.





Pokok kapal terbang

Pokok kapal terbang tumbuh dengan subur di tepi laluan pejalan kaki. Seingat saya, datuk saya akan mengambil daun pokok ini, dicampur sedikit dengan kapur sirih dan air, diupar dan diletakkan di atas luka untuk menahan darah.


Pokok akar seribu




Pokok yang berserabut dengan akar yang berjuntai ini tidak pernah saya hiraukan akan kewujudan pokok ini. Mengikut suami saya akar pokok seribu ini digunakan sebagai bahan pengikat.Orang-orang dahulu yang mencari kayu api, jika tidak bersedia dengan tali, akar seribu inilah menjadi tali pengikat kayu api mereka.



Pokok simpoh air



Pokok simpoh air dengan warna bunga kuning terang sudah tentu memukau pandangan kita. Daunnya dijadikan pembalut makanan seperti tempe dan tapai. Kata ibu saya, tapai yang dibungkus dengan daun simpoh cepat 'masak' dan manis rasanya. Buahnya yang masak dengan biji yang berwarna merah menjadi kegemaran burung dan tupai.


Pokok cenerai




Apabila saya melangkah masuk ke kawasan hutan di pinggir jalan, teringat akan zaman kanak-kanak. Dibesarkan bersama empat saudara lelaki, buah cenerai inilah yang menjadi bahan peluru senapang kayu dan cak pelong (dibuat dari buluh ). Jika buah cenerai yang digunakan untuk cak pelong bunyi yang dihasilkan lebih kuat dan sedap didengar, tidak seperti bunyi yang dikeluarkan oleh cak pelong yang disumbat dengan kertas surat khabar basah sebagai peluru. Buah cenerai yang masak rasanya manis dan boleh dimakan. Ianya menjadi makanan kegemaran unggas.



Pokok kaduk


Pokok kaduk yang banyak digunakan di dalam 'Thai cuisine' tumbuh liar menutupi bumi di sini. Tumbuhan herba ini juga popular di dalam masakan Melayu. Mengikut maklumat yang saya dapati, daun kaduk juga digunakan untuk mengubat sakit gigi, sembelit, malaria, batuk dan panau.


Pokok semalu






Daun pokok semalu akan tertutup apabila disentuh. Mengikut maklumat yang didapati dipercayai, wanita zaman dahulu menggunakan mandian pokok ini untuk menjaga kerukunan rumah tangga dan merapatkan hubungan suami isteri.


Pokok dukung anak




Pokok dukung anak adalah sejenis herba yang tumbuh liar dan mudah didapati. Pokok ini digunakan di dalam perubatan tradisional dipercayai dapat mengubat penyakit kencing manis.


SERANGGA



Adalah kumpulan haiwan yang amat penting di dalam jaringan ekosistem. Serangga di sebalik menjadi pemangsa, ia juga menjadi sumber makanan kepada haiwan pemangsa seperti burung, kelawar, chameleons dan lain-lain. Kelawar yang menjadi agen pendebungaan utama durian dan petai banyak bergantung kepada serangga dan buah sebagai makanan utama. Di dalam pemerhatian singkat saya terdapat banyak serangga di kawasan Bukit Kiara dan juga di Taman Lembah Kiara yang terletak di Jalan Abang Haji Openg, TTDI.


Apa yang saya paparkan hanya merupakan 'the tip of the iceberg'. Hutan Kiara yang sedang melalui proses pemuliharaan ini adalah amanah yang akan diwariskan kepada anak cucu kita. Sudah pasti ia akan membantu mengekalkan ekosistem dan memberi impak yang positif kepada generasi yang akan datang. Tidak perlu untuk mendaki gunung tinggi, meredah tebal hutan belantara atau menuruni lurah yang dalam untuk menikmati khazanah alam ini. Ia berada di hadapan mata kita, cuma yang perlu adalah pemerhatian dan ketelitian apabila kita mengatur langkah samada di laman rumah, di taman-taman atau jalan yang kita lalui pada setiap hari.



Di bawah adalah di antara flora dan fauna yang telah saya rakamkan




















































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































1 comment:

  1. ASSALAMUALAIKUM... DALAM BERPUSING-PUSING MENCARI GAMBAR "POKOK CENERAI" SAYA TERJUMPA BLOG INI. BANYAK POKOK HERBA YANG DIANGGAP "RUMPUT" DISEKELILING KITA. BLOG YANG BAGUS.

    ReplyDelete